Saturday, 22 June 2013
Set Memory Booster Shaklee
Suasana pembelajaran yang menyeronokkan meningkatkan daya ingatan, sama ada untuk kanak-kanak mahupun orang dewasa. Kita lebih mudah mengingati fakta jika ia diberi dalam suasana yang ceria dan merangsang minda.
Inilah sebabnya seorang kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa dan guru yang berdedikasi mengajar dan menjadikan proses pembelajaran sesuatu aktiviti yang menyeronokkan, mempunyai peluang yang lebih cerah untuk mencapai kecemerlangan dalam hidupnya. Ada beberapa langkah yang boleh anda lakukan untuk menjadikan proses pembelajaran semakin seronok sekaligus meningkatkan daya ingatan anak anda.
Pecahkan Fakta
Seboleh-bolehnya, pecahkan fakta yang perlu dihafal menjadi beberapa bahagian yang lebih kecil. Umpamanya, kanak-kanak tidak selesa jika mereka disuruh menghafal pertunjukan drama kelas yang padat dengan dialog dalam masa kurang daripada dua minggu. Ini ibarat kita cuba memakan selonggok makanan sekaligus; mustahil bukan? Begitu juga kita tidak boleh mengharapkan seorang kanak-kanak untuk mengingati terlalu banyak fakta dalam masa yang terlalu singkat.
Pecahkan tugasan kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil. Sepuluh baris dialog drama lebih mudah jika ianya dihafal sebaris demi sebaris. Bukan sahaja daya ingatan anak anda semakin tajam, keyakinannya juga meningkat, terutama jika anak anda menyedari bahawa tugasan ini agak sukar di peringkat awal, tetapi mampu dilakukan jika dibuat sedikit demi sedikit.
Gunakan Konsep Imej
Kebanyakan kita, termasuk kanak-kanak lebih mudah mengingati fakta dalam bentuk mej berbanding kosa kata. Itulah sebabnya kanak-kanak lebih mudah mengingati fakta yang dikaitkan dengan simbol atau ubah suaian imej. Rahsianya ialah untuk menyimpan maklumat penting dalam bentuk gambar. Contohnya, untuk membantu anak anda mengingati bahawa haiwan herbivor suka makan tumbuh-tumbuhan, anda boleh melukis gambar gigi yang sedang mengunyah daun di sebelah kosa kata haiwan itu. Atau cuba perkenalkan konsep Peta Minda, satu lagi kaedah yang menggunakan konsep imej.
Bercerita
Memang mudah untuk mengingati fakta yang diberikan dalam bentuk cerita kerana melalui cerita, semua fakta diatur dengan baik. Sebagai contoh, untuk mengingati kesemua sembilan planet dalam sistem solar dalam Bahasa Inggeris, kita boleh menyusunnya mengikut huruf pertama setiap planet itu sehingga menjadi ayat berbentuk cerita. Planet-planet dalam sistem solar dalam Bahasa Inggeris ialah: Mercury, Venus, Earth, Mars, Jupiter, Saturn, Uranus, Neptune dan Pluto. Dengan itu, susunannya berbunyi begini: Man-eating Violets Eat Meat Just So Ugly Nymphs Ponder.
Ajar Orang Lain
Daya ingatan bertambah kuat apabila sesuatu pelajaran itu diulang-ulang. Galakkan anak-anak anda yang lebih tua untuk meluangkan masa mengajar adik-adik yang lebih kecil. Contohnya, anak anda yang di dalam Darjah Tiga boleh mengajar adiknya yang baru masuk Darjah Satu. Anak yang baru masuk Darjah Satu boleh menunjuk ajar adiknya yang baru masuk tadika. Anak yang baru masuk tadika pula boleh cuba ‘membaca’ dengan adiknya yang baru mula bertatih.
Pilih Makanan Sihat
Makanan turut mempengaruhi daya ingatan manusia. Galakkan anak-anak anda memakan lebih banyak ikan dan sayur-sayuran. Kurangkan makanan segera. Diet yang mengandungi terlalu banyak gula dan karbohidrat juga kurang sihat dan boleh menjejaskan kesihatan untuk jangka panjang.
Lain Anak, Lain Caranya
Kesimpulannya, ibu bapa harus memahami bahawa naluri kanak-kanak memang gemar untuk mempelajari sesuatu. Sikap ingin tahu itulah yang menjadi sumber motivasi kepada seseorang anak untuk terus belajar. Namun, tiada kaedah yang sama yang boleh digunakan untuk meningkatkan daya ingatan untuk semua anak-anak.
Teruslah mencuba tetapi usah memaksa anak anda. Mungkin anda mengambil masa yang lebih lama sebelum menemui jalan atau cara yang sesuai dengan keperluan anak anda. Juga perlu diingat, daya ingatan tidak cekap jika otak terlalu banyak tekanan. Jadi, sebaik-baiknya gunakanlah kaedah-kaedah di atas semasa anak anda peka dan bersedia untuk mempelajari sesuatu yang baru.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment