Thursday, 4 July 2013

Senaman Itu Ubat


APABILA kita bercakap mengenai ‘ubat’ selalunya kita hanya terbayangkan pil, kapsul atau suntikan yang diberikan oleh doktor.
Amat ganjil jika doktor memberikan kita preskripsi ‘senaman’. Hakikatnya senaman juga adalah satu bentuk ‘ubat’ untuk merawat penyakit.

Konsep senaman sebagai satu ubat sudah terbukti dari segi sains. Banyak kajian menunjukkan senaman mampu mencegah dan merawat pelbagai jenis penyakit seperti penyakit jantung, kanser, strok, darah tinggi, penyakit sekatan pulmonari (COPD) dan kencing manis.
Dengan senaman, tulang, ligamen dan tendon menjadi lebih kuat dan ini akan mencegah masalah reput tulang (osteoporosis) dan reput sendi (osteoarthritis) selain mencegah masalah terjatuh akibat lemah otot dan sendi.

Dalam Islam, senaman adalah satu sunah Nabi Muhammad SAW. Ada hadis Nabi yang bermaksud: “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dikasih Allah daripada mukmin lemah. Oleh itu, berpegang teguhlah pada setiap kebajikan yang akan memberi manfaat.” (Riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah r.a) Rasulullah adalah seorang yang aktif secara fizikal sehingga ke akhir hayatnya. Baginda menyeru umatnya berusaha bersungguh-sungguh menjadi umat yang kuat dan sihat. Baginda menggalakkan umat Islam dengan riadah berkuda, memanah, bergusti, berlumba lari dan berenang untuk menguatkan tubuh badan.

Rasulullah sendiri menjadi panglima perang dalam umur 50-an, menunjukkan betapa cergas dan sihatnya Rasulullah dari segi fizikal.
Kesan psikoloji dan fisioloji senaman juga amat baik. Orang yang selalu bersenam akan lebih tenang, fokus dan tidak mudah stres. Fungsi psikologi dipertingkat dengan penampilan diri yang lebih menarik.

Dengan bersenam, jantung dan paru-paru berfungsi secara optimum dan kekuatan serta daya tahan otot meningkat. Justeru, masalah di bahagian tulang belakang jarang dialami.
Senaman juga bertindak sebagai ejen antipenuaan dengan cara mengurangkan tindak balas negatif akibat stres. Berat badan yang sesuai akan lebih mudah dikekalkan dan risiko penyakit jantung koronari berkurangan dengan bersenam secara konsisten. Orang selalu bersenam akan kelihatan lebih muda daripada usianya.

Faedah kesihatan dengan senaman bukanlah khusus kepada sejenis penyakit sahaja, tetapi mampu mencegah pelbagai jenis penyakit. Bersenam juga boleh memberikan kesan positif kepada kesihatan kerana stres rendah dan menurunkan berat badan. Senaman menaikkan ‘mood’ dan jati diri, tingkat tenaga, mencantik rupa fizikal dan membuatkan seseorang merasa lebih sihat secara umumnya. Bersenam adalah amalan untuk gaya hidup sihat.

Otak yang sihat dan cerdas hasil daripada tubuh badan yang sihat. Di samping pemakanan yang sihat, senaman dan aktiviti fizikal satu cara yang utama dalam mengekalkan kesihatan optimum. Saya menulis secara lebih mendalam di dalam buku saya ‘8 Rahsia menguruskan badan tanpa berdiet’ berhubung konsep senaman dan aktiviti fizikal untuk membantu menurunkan berat badan. Aktiviti fizikal seperti berjalan, berlari, berenang, mencangkul, berbasikal, bermain sukan dan seni mempertahankan diri dan sebagainya adalah contoh yang baik untuk kita mengamalkan senaman setiap hari. Senaman akan menyebabkan pengaliran arah lebih lancar dan meningkatkan pengoksidaan sel-sel dalam tubuh manusia. Kekurangan oksigen boleh menyebabkan kita rasa tidak sihat, kurang bertenaga, mudah mengantuk, cepat lupa, susah fokus dan tidak bermaya setiap hari.

Senaman juga akan meningkatkan paras hormon dalam badan seperti hormon tumbesaran, testosteron dan thyroid . Peningkatan paras hormon ini yang membantu menurunkan berat badan dan membakar lemak terkumpul. Oleh itu senaman menurunkan berat badan secara tidak langsung dan bukanlah semata-mata kerana senaman membakar kalori yang tersimpan. Senaman juga membantu menurunkan hormon yang menyebabkan masalah kegemukan. Senaman menurunkan paras hormon kortisol yang meningkat disebabkan oleh masalah stres berpanjangan dan senaman juga akan menurunkan paras hormon insulin yang menyebabkan masalah sindrom metabolik.

Terdapat lebih 40 kajian dilaporkan dalam jurnal perubatan yang menunjukkan senaman secara sederhana boleh menurunkan risiko penyakit jantung sehingga 30% ke 50%. Senaman sederhana seperti berjalan kaki sejauh 3km selama 40 minit, mambasuh dan mengilatkan kereta selama sejam, berkebun selama sejam, mengayuh basikal sejauh 8km selama setengah jam, berenang selama 20 minit dan berlari sejauh 2.5km selama 15minit.

Ada kajian yang menunjukkan bersenam boleh mencegah penyakit Parkinson. Kajian oleh Harvard School of Public Health pada 2005 menunjukkan lelaki berjoging, bermain bola keranjang atau bersenam lain sekurang-kurangnya dua kali seminggu boleh menurunkan risiko mendapat penyakit Parkinson sehingga 60 peratus apabila tua.

Sebelum memulakan apa-apa senaman, kita perlu memanaskan badan dan meregangkan urat dan otot. Bersenam dengan mengurangkan risiko kecederaan dengan memakai pakaian dan kasut sesuai dengan senaman yang dilakukan. Bernafas dengan betul ketika senaman juga amat penting. Minum air secukupnya sebelum bersenam, ketika bersenam dan selepas bersenam. Jika anda tidak pernah bersenam selama bertahun-tahun, buatlah pemeriksaan doktor dahulu sebelum memulakan senaman yang serius kerana ditakuti mendapat serangan jantung tiba-tiba. Gunakan kesempatan ketika bekerja untuk bersenam dengan selalu memilih untuk berjalan apabila ada peluang dan gunakan tangga apabila ada tangga dan kurangkan penggunaan lif, sekurang-kurangnya turun dari bangunan gunakanlah tangga sebagai permulaan.

Janganlah menjadikan kesibukan sebagai alasan untuk tidak bersenam kerana faedah senaman kepada kesihatan amat penting dan terlalu berharga. Tiada gunanya duit berjuta jika kita berpenyakit. Bersenamlah untuk sihat dan dengan kesihatan yang baik berkekalan kita boleh menikmati hidup lebih sempurna. Tubuh badan yang sihat penting untuk kita melaksanakan segala suruhan dan tuntutan agama. Berusahalah untuk sihat dengan bersenam secukupnya dan makan makanan yang sihat.

Dr Norman Mohd Norawi berkelulusan MBBS, FAGE, MScAAARM
Sumber: MyMetro (artikel 17/12/2012)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...