Wednesday, 24 July 2013

Menyambut Kelahiran Bayi Menurut Sunnah

Antara perkara yang Rasulullah SAW letakkan keutamaan yang tinggi adalah pada didikan untuk generasi akan datang. Nabi SAW jadikannya penting sejak sebelum perkahwinan lagi, semasa memilih calon, kemudian ketika proses mengandung dan juga kelahiran dengan memastikan anak yang lahir itu dikelilingi oleh adab-adab yang menjadikan kelahiran tersebut sebagai persiapan kepada anak itu untuk menjadi hamba Allah yang soleh, terpelihara daripada syaitan dan daripada penyakit dalaman dan luaran yang mungkin menimpa manusia.Sunnah-sunnah ketika menyambut kelahiran bayi ialah:



1. Mengazankan bayi

Nabi SAW mengambil berat tentang bayi yang baru lahir dari rahim ibunya dengan mengalunkan azan ke telinganya supaya sejak lahir lagi bayi tersebut didendangkan dengan zikrullah dan supaya ia menjadi pelindungnya daripada syaitan yang direjam.

Nabi SAW apabila mendapat tahu tentang kelahiran cucunya Hasan, baginda bergegas mendapatkannya lalu mengalunkan azan ke telinga kanannya dan iqamah ke telinga kirinya.

Baginda bersabda bahawa bayi yang diazankan tidak akan diganggu oleh 'ummu sibyan' iaitu sejenis syaitan yang dikhaskan untuk menganggu bayi yang baru lahir.

2. Bertahnik 

Nabi SAW akan mengambil sedikit air liur baginda dan dimasukkan ke dalam mulut bayi yang baru lahir dan meratakannya ke seluruh mulutnya.

3. Menamakan bayi

Menamakan bayi pada hari yang ke-7 selepas kelahirannya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Namakan mereka dengan nama pada nabi. Dan sebaik-baik nama ialah Abdullah dan Abdul Rahman. Semolek-moleknya ialah Haris dan Hamam. Manakala seburuk-buruknya ialah Harb dan Murrah."

4. Bercukur

Mencukur kepala bayi. Disunatkan pada hari ke-7 kelahiran bayi untuk dicukur kepalanya sehingga habis.

5. Menderma berdasarkan berat rambut bayi yang dicukur

Menimbang rambut bayi yang dicukur itu kemudian mendermakan perak dengan timbangan tersebut. Namun, ulamak menyatakan jika hendak didermakan dalam bentuk emas maka ia lebih baik untuk muslimin dan fakir miskin. 

6. Aqiqah

Menyembelih dua ekor kambing untuk anak lelaki dan seekor kambing untuk anak perempuan. Disunatkan untuk menyediakan sembelihan tersebut dan menjemput orang ramai untuk menikmatinya. Disunatkan bagi yang dijemput untuk memenuhi jemputan aqiqah kerana Nabi SAW menggalakkan kita memenuhi undangan aqiqah sehinggakan ada sebahagian ulamak mewajibkan kita untuk memenuhi undangan aqiqah.

7. Berkhatan

Berkhatan diwajibkan kepada anak lelaki dan digalakkan bagi anak perempuan.

Keinginan untuk menyampaikan berita gembira dan mengucapkan tahniah
 
Jika kita mendapat tahu tentang kelahiran baru, disunatkan untuk kita mengucapkan: "Moga Allah berkatimu dengan pemberian-Nya, semoga kamu bersyukur kepada-Nya, semoga Allah kurniakanmu keberkatan dan petunjuk-Nya."

Jika kita perhatikan ketujuh-tujuh sunnah ini dan mengamalkannya kepada anak-anak, mereka akan hidup bersama sunnah Rasulullah SAW. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...