Thursday, 4 July 2013

Horlicks ESP + Biskut Hi-Fiber

Ringkas, Cepat dan Lazat!
Hari ni Rina nak berkongsi resipi ataupun diet yang sihat untuk mereka-mereka yang berkerjaya yang kadang-kadang tak cukup masa walaupun hanya untuk berserapan. Jadi ini adalah salah satu alternatif yang Rina amalkan sendiri kerana Rina juga seorang yang berkerjaya.

Baik, pertama kita memerlukan beberapa bahan yang pada Rina cukup simple dan sangat mudah untuk dijumpai di pantri pejabat anda. Bahan-bahan tersebut adalah:


Bahan-Bahan

  • 1 gelas/mug air suam.
  • 2 scoop ESP
  • 2 sudu kecil/1 sudu besar serbuk Horlicks
  • 1 sachet biskut Oat Krunch Munchy (Boleh ditukar dengans sebarang biskut high fiber)
Cara Penyediaan
  1. Sediakan secawan air suam, jangan air panas ye. Cukuplah sekadar untuk melarutkan Horlicks tadi.
  2. Masukkan 2 sudu kecil/1 sudu besar serbuk Horlicks.
  3. Kemudian masukkan 2 scoop ESP
  4. Kacau sehinggalah sebatian kita tadi larut. Kalau yang ada shaker di pejabat lagi elok.
  5. Kemudian buka sachet biskut Oat Krunch Munchy ada tadi.
  6. Dan, siap! Horlicks ESP bersama biskut Oat Krunch Munchy!
Kalau ikut pengalaman Rina, diet ini boleh membuatkan Rina kenyang sehingga waktu makan tengah hari. So, ringkas, cepat dan lazat. Oh ya, juga berkhasiat! Selamat mencuba ye!

Senaman Itu Ubat


APABILA kita bercakap mengenai ‘ubat’ selalunya kita hanya terbayangkan pil, kapsul atau suntikan yang diberikan oleh doktor.
Amat ganjil jika doktor memberikan kita preskripsi ‘senaman’. Hakikatnya senaman juga adalah satu bentuk ‘ubat’ untuk merawat penyakit.

Konsep senaman sebagai satu ubat sudah terbukti dari segi sains. Banyak kajian menunjukkan senaman mampu mencegah dan merawat pelbagai jenis penyakit seperti penyakit jantung, kanser, strok, darah tinggi, penyakit sekatan pulmonari (COPD) dan kencing manis.
Dengan senaman, tulang, ligamen dan tendon menjadi lebih kuat dan ini akan mencegah masalah reput tulang (osteoporosis) dan reput sendi (osteoarthritis) selain mencegah masalah terjatuh akibat lemah otot dan sendi.

Dalam Islam, senaman adalah satu sunah Nabi Muhammad SAW. Ada hadis Nabi yang bermaksud: “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dikasih Allah daripada mukmin lemah. Oleh itu, berpegang teguhlah pada setiap kebajikan yang akan memberi manfaat.” (Riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah r.a) Rasulullah adalah seorang yang aktif secara fizikal sehingga ke akhir hayatnya. Baginda menyeru umatnya berusaha bersungguh-sungguh menjadi umat yang kuat dan sihat. Baginda menggalakkan umat Islam dengan riadah berkuda, memanah, bergusti, berlumba lari dan berenang untuk menguatkan tubuh badan.

Rasulullah sendiri menjadi panglima perang dalam umur 50-an, menunjukkan betapa cergas dan sihatnya Rasulullah dari segi fizikal.
Kesan psikoloji dan fisioloji senaman juga amat baik. Orang yang selalu bersenam akan lebih tenang, fokus dan tidak mudah stres. Fungsi psikologi dipertingkat dengan penampilan diri yang lebih menarik.

Dengan bersenam, jantung dan paru-paru berfungsi secara optimum dan kekuatan serta daya tahan otot meningkat. Justeru, masalah di bahagian tulang belakang jarang dialami.
Senaman juga bertindak sebagai ejen antipenuaan dengan cara mengurangkan tindak balas negatif akibat stres. Berat badan yang sesuai akan lebih mudah dikekalkan dan risiko penyakit jantung koronari berkurangan dengan bersenam secara konsisten. Orang selalu bersenam akan kelihatan lebih muda daripada usianya.

Faedah kesihatan dengan senaman bukanlah khusus kepada sejenis penyakit sahaja, tetapi mampu mencegah pelbagai jenis penyakit. Bersenam juga boleh memberikan kesan positif kepada kesihatan kerana stres rendah dan menurunkan berat badan. Senaman menaikkan ‘mood’ dan jati diri, tingkat tenaga, mencantik rupa fizikal dan membuatkan seseorang merasa lebih sihat secara umumnya. Bersenam adalah amalan untuk gaya hidup sihat.

Otak yang sihat dan cerdas hasil daripada tubuh badan yang sihat. Di samping pemakanan yang sihat, senaman dan aktiviti fizikal satu cara yang utama dalam mengekalkan kesihatan optimum. Saya menulis secara lebih mendalam di dalam buku saya ‘8 Rahsia menguruskan badan tanpa berdiet’ berhubung konsep senaman dan aktiviti fizikal untuk membantu menurunkan berat badan. Aktiviti fizikal seperti berjalan, berlari, berenang, mencangkul, berbasikal, bermain sukan dan seni mempertahankan diri dan sebagainya adalah contoh yang baik untuk kita mengamalkan senaman setiap hari. Senaman akan menyebabkan pengaliran arah lebih lancar dan meningkatkan pengoksidaan sel-sel dalam tubuh manusia. Kekurangan oksigen boleh menyebabkan kita rasa tidak sihat, kurang bertenaga, mudah mengantuk, cepat lupa, susah fokus dan tidak bermaya setiap hari.

Senaman juga akan meningkatkan paras hormon dalam badan seperti hormon tumbesaran, testosteron dan thyroid . Peningkatan paras hormon ini yang membantu menurunkan berat badan dan membakar lemak terkumpul. Oleh itu senaman menurunkan berat badan secara tidak langsung dan bukanlah semata-mata kerana senaman membakar kalori yang tersimpan. Senaman juga membantu menurunkan hormon yang menyebabkan masalah kegemukan. Senaman menurunkan paras hormon kortisol yang meningkat disebabkan oleh masalah stres berpanjangan dan senaman juga akan menurunkan paras hormon insulin yang menyebabkan masalah sindrom metabolik.

Terdapat lebih 40 kajian dilaporkan dalam jurnal perubatan yang menunjukkan senaman secara sederhana boleh menurunkan risiko penyakit jantung sehingga 30% ke 50%. Senaman sederhana seperti berjalan kaki sejauh 3km selama 40 minit, mambasuh dan mengilatkan kereta selama sejam, berkebun selama sejam, mengayuh basikal sejauh 8km selama setengah jam, berenang selama 20 minit dan berlari sejauh 2.5km selama 15minit.

Ada kajian yang menunjukkan bersenam boleh mencegah penyakit Parkinson. Kajian oleh Harvard School of Public Health pada 2005 menunjukkan lelaki berjoging, bermain bola keranjang atau bersenam lain sekurang-kurangnya dua kali seminggu boleh menurunkan risiko mendapat penyakit Parkinson sehingga 60 peratus apabila tua.

Sebelum memulakan apa-apa senaman, kita perlu memanaskan badan dan meregangkan urat dan otot. Bersenam dengan mengurangkan risiko kecederaan dengan memakai pakaian dan kasut sesuai dengan senaman yang dilakukan. Bernafas dengan betul ketika senaman juga amat penting. Minum air secukupnya sebelum bersenam, ketika bersenam dan selepas bersenam. Jika anda tidak pernah bersenam selama bertahun-tahun, buatlah pemeriksaan doktor dahulu sebelum memulakan senaman yang serius kerana ditakuti mendapat serangan jantung tiba-tiba. Gunakan kesempatan ketika bekerja untuk bersenam dengan selalu memilih untuk berjalan apabila ada peluang dan gunakan tangga apabila ada tangga dan kurangkan penggunaan lif, sekurang-kurangnya turun dari bangunan gunakanlah tangga sebagai permulaan.

Janganlah menjadikan kesibukan sebagai alasan untuk tidak bersenam kerana faedah senaman kepada kesihatan amat penting dan terlalu berharga. Tiada gunanya duit berjuta jika kita berpenyakit. Bersenamlah untuk sihat dan dengan kesihatan yang baik berkekalan kita boleh menikmati hidup lebih sempurna. Tubuh badan yang sihat penting untuk kita melaksanakan segala suruhan dan tuntutan agama. Berusahalah untuk sihat dengan bersenam secukupnya dan makan makanan yang sihat.

Dr Norman Mohd Norawi berkelulusan MBBS, FAGE, MScAAARM
Sumber: MyMetro (artikel 17/12/2012)

Wednesday, 3 July 2013

Keistimewaan Halia


Halia dikatakan ditanam di China sejak berkurun-kurun lamanya. Malah, tanaman itu dikatakan berkemungkinan berasal dari negara tersebut.

Masyarakat di China dipercayai telah menggunakan halia dalam amalan perubatan sejak 2,500 tahun lalu. Mereka bergantung kepada khasiat halia untuk mengatasi pelbagai penyakit seperti masalah kesejukan anggota badan terutama di bahagian tangan dan kaki. Gejala itu berpunca daripada gangguan atau masalah pengaliran darah.



Perubatan Moden


Peppermint Ginger Plus:
Produk Shaklee Berasaskan Halia
Khasiat halia dalam merawat pelbagai penyakit bukan saja diketahui menerusi kaedah tradisional malah dibuktikan oleh pakar-pakar perubatan moden.

Menurut satu laporan, kandungan aktif dalam halia yang dikenali sebagai gingeroles memberi kesan apabila ia meresap ke dalam badan.

Halia atau nama saintifiknya Zingiber officinale dari keluarga zingiberaceae kaya dengan kandungan kalium (125 miligram), fosforus (63mg) dan kalsium tenaga (52 kilokalori) selain protein, karbohidrat, gentian, vitamin C dan niasin.


Perisa Masakan

Di kalangan masyarakat Malaysia, halia bukan saja berkhasiat malah menjadi perisa atau sebahagian daripada ramuan masakan.

Selain berbau harum, campuran halia dalam masakan menjadi pembuka selera makan. Selalunya halia ditumbuk atau dimayang halus, ditumis bersama perencah lain untuk masakan sup, kari, sambal, rendang dan tomyam.

Buang Angin

Dalam perubatan alternatif, halia yang ditumbuk atau air rebusannya digunakan sebagai ubat minum atau sapu.

Seperti yang diketahui umum, air rebusan halia yang dicampur lada hitam boleh menghilangkan angin di perut. Air rebusan ini sesuai untuk wanita yang baru bersalin dan mereka yang mengalami masalah angin seluruh badan.


Banyak Kegunaan

Bagi mereka yang terseliuh anggota badan, halia tua yang ditumbuk halus dan dipupuk di tempat tersebut boleh mengelakkan angin memasuki bahagian berkenaan.

Halia juga boleh mengubati penyakit sendi, cirit-birit, kekurangan tenaga, pening kepala dan demam panas. Selain itu, halia membantu menghadam makanan, mengawal hati daripada kesejukan dan menghilangkan bau busuk mulut.

Pengambilan halia juga mencegah rasa pening dan mual atau motion sickness semasa menaiki kenderaan serta membuang kahak dan lendir yang melekat di halkum.

Halia juga membantu menguatkan tenaga batin iaitu menambahkan air mani.

Tuesday, 2 July 2013

Khasiat Daun Pudina

Daun pudina yang mengandungi pelbagai khasiat!

Produk Shaklee yang
mengandungi daun pudina.
Daun pudina (peppermint) adalah sejenis herba yang berbau segar dan selalu digunakan pada masakan2 terutama masakan India + Malaysia iaitu Baryani ayam + daging + kari. Tanpa daun pudina masakan seakan terasa kurang power. Lagi2 untuk mereka yang gemar menggunakannya sebagai pemanis mulut dan sebagainya.

Daun pudina juga bukan saja hebat dipergunakan untuk masakan tetapi sebalik baik untuk mereka yang gemar berdiet + menjaga kesihatan diri luar dan dalam. Tahukah kita bahawa daun pudina juga sangat baik untuk anak2 kecil meminumnya?


KHASIAT DAUN PUDINA
  • Membantu saluran pencernaan. Jika terkena cirit birit atau sakit perut boleh ambil jus pudina untuk rawatan
  • Membantu bertindak menjadi penyejuk kepada kulit + membantu dalam masalah kegatalan kulit
  • Membantu mengurangkan sindrom usus + membersihkan perut + menghilangkan masalah kulit seperti jerawat = minum teh pudina ( resipi disertakan dibawah)
  • Membantu dalam menghapuskan toksin dari badan
  • Membantu dalam pemutihan gigi + memerangi nafas berbau = hancurkan daun pudina dan gosok terus ke gigi. 
  • Menjadi pembersih yang sangat baik untuk darah kita.

Monday, 1 July 2013

Berbuat Baik Kepada Ibu Bapa

KeluargaKu, AspirasiKu
Ibu bapa merupakan insan yang paling rapat dan dihormati dalam institusi keluarga. Mereka banyak berkorban dalam membesarkan dan memberi didikan kepada anak-anak. Mereka tidak pernah meminta atau mengharapkan balasan atau bayaran terhadap penat lelah, pengorbanan dan kasih sayang yang mereka berikan.
Dewasa ini ramai anak-anak yang tidak menghormati ibu bapa mereka. Perkara ini amat serius terutamanya di negara Barat yang telah rosak dalam sistem sosial dan kekeluargaan. Anak-anak telah hilang rasa hormat, sering bercakap dengan nada tinggi dan kasar, bahkan ada yang berani memukul kerana tidak sependapat atau berselisih faham.
Yang lebih teruk, ada yang tidak segan silu menyaman ibu bapa mereka jika menyentuh hal peribadi mereka. Inilah kelemahan sistem manusia yang sering dikatakan untuk memenuhi hak asasi manusia tetapi tidak pernah mampu mendidik dan membentuk peribadi yang mulia.
Islam mengajar agar anak-anak menghormati ibu bapa dan menghargai pengorbanan mereka. Perintah ini banyak dimuatkan dalam al-Quran yang menunjukkan bahawa perkara ini amat penting.
“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun, bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu, hanya kepada Aku kembalimu” (Luqman, 31: 14)
“Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua- dua ibu bapa…” (al-Ahqaf, 46: 15)
Menghormati dan taat kepada ibu bapa akan mewujudkan suasana yang harmoni, damai dan tenang dalam keluarga. Hadith RasulAllah di bawah wajar diperhati sebagai peringatan kepada kita dalam menjaga adab dengan ibu bapa.
“Bukanlah daripada golongan kamu, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami.” (Hadis riwayat Tabrani).
RasululAllah tidak mengiktiraf mereka yang tidak menghormati ibu bapa mereka termasuk dalam golongan muslim. Dalam hadis yang lain, perbuatan derhaka kepada kepada ibu bapa merupakan maksiat yang akan di balas dengan segera di dunia ini.
“Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia adalah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Sebagai contoh mudah, cerita lama si tanggang yang sombong dan mengina ibunya setelah menjadi nahkoda kapal, mendapat balasan dengan ditukar menjadi batu setelah ibunya merintih dan berdoa kepada Allah akan memberi pengajaran kepadanya.
Menderhaka kepada kedua ibu bapa merupakan dosa yang besar dan sangat dimurkai oleh Allah. Perkara ini diberikan contoh yang lebih mendalam dan lebih kecil sehingga kepada perkataan dan ucapan seharian.
Allah melarang anak-anak melawan ibu bapa mereka dengan nada yang kasar yang boleh menyentuh hati seperti perkaaan ‘ah’, ‘cis’, ‘uh’ dan sebagainya.
“Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata ‘ah’ terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut.” (al-Isra’, 17: 23 )
Perkara ini mungkin nampak kecil, namun Allah tetap menekannya agar manusia mengambil peringatan dalam menjaga adab dan sebagai batas-batas dan aturan yang perlu diikuti demi keharmonian hidup.
Sebagai anak, wajar kita sentiasa bertutur dengan lemah lembut dan mengucapkan kata-kata yang baik dan menyenangkan hati mereka. Dan lebih-lebih lagi kita dituntut agar mendoakan kesejahteraan mereka.
“Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka telah mendidik aku pada waktu kecil” (al-Isra’, 17: 24)
Menghormati dan berbakti kepada ibu bapa merupakan suatu perkara yang sangat disukai oleh Allah dan termasuk dalam perbuatan yang menjadi keutamaan yang tinggi.
Diriwayatkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar berkata: Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad: Apakah perbuatan disukai oleh Allah? Lalu baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Kemudian apa? tanya saya lagi. Baginda menjawab: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Saya bertanya: Apa lagi. Jawab baginda: Berjihad pada jalan Allah.
Ketika ditanya oleh seorang sahabat daripada kaum Ansar mengenai masih adakah tanggungjawabnya terhadap ibu bapa yang sudah meninggal dunia, Rasulullah menjawab dengan sabdanya bermaksud:“Ada, iaitu berdoa, beristighafar untuk kedua-duanya, menyempurnakan janji, memuliakan sahabat taulan kedua-duanya dan menyambungkan silaturahim yang tidak sempat dijalinkan oleh kedua-duanya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).
Marilah kita bersama-sama menyemai kasih sayang dan mewujudkan keharmonian dalam keluarga sehingga diberkahi dan mendatangkan sakinah. Semoga keharmonian dalam keluarga akan menyemarakan lagi kesejahteraan dan kualiti hidup bermasyarakat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...